13 Disember 2008

Ciri-ciri Guru Cemerlang

Ciri-ciri Guru Cemerlang

Ciri-ciri guru cemerlang dari segi kualiti adalah seperti berikut:
- Peribadi: Guru cemerlang ialah guru yang mempunyai sahsiah yang terpuji, berketrampilan dan berpegang teguh kepada etika perguruan dan etika perkhidmatan awam serta peka dan prihatin terhadap keperluan pelajar yang dapat menjadi role model kepada para pendidik.

- Pengetahuan dan kemahiran: Guru Cemerlang ialah guru yang menguasai dan menghayati kandungan mata pelajaran atau bidang pengkhususan dan kepakarannya, menjadi pakar rujuk pengajaran dan pembelajaran, bijak mengurus masa, bahan sumber, alat pengajaran dan pembelajaran, mampu mengenal pasti keperluan dan masalah pembelajaran pelajar serta menyediakan program tindakan susulan, berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang-bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

- Hasil kerja: Guru Cemerlang ialah guru yang berupaya meningkatkan hasil pembelajaran (learning outcome) dan membangunkan potensi pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan menerusi peningkatan minat dan penglibatan pelajar, melalui pelbagai pendekatan menerusi kebolehan dan keupayaan dalam membimbing pelajar di dalam dan di luar waktu pengajaran, menerusi kekerapan pemberian kerja bertulis atau tugasan dan menerusi penguasaan dan penggunaan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran.

- Komunikasi: Guru Cemerlang ialah guru yang memiliki kemahiran komunikasi yang tinggi secara ‘inter’ dan intra-personal’, serta berkemampuan menyampaikan idea dan mesej dengan berkesan dalam pelbagai bentuk kemunikasi.

- Potensi : Guru Cemerlang adalah guru yang berwawasan, perintis sesuatu usaha, sentiasa merancang, mengelola dan melaksanakan program-program pendidikan, mampu membuat analisis dan mengambil tindakan terhadapnya, sentiasa belajar untuk meningkatkan kerjaya, sentiasa terlibat dan menyumbang dalam kursus, seminar dan bengkel, menjalankan penyelididkan dan menghasilkan penulisan ilmiah serta sentiasa menyumbangkan tenaga dan kepakaran ke arah keupayaan sekolah.

- Sumbangan kepada kemajuan pendidikan negara: Guru Cemerlang ialah guru yang berupaya menjana idea baru dan berkongsi idea tersebut bagi meningkatkan mutu pendidikan negara serta berupaya memberi buah fikiran yang boleh membantu peningkatan kualiti pengajaran di institusi

18 November 2008

Peranan dan Tugas Guru Yang Efektif

PERANAN DAN TUGAS GURU YANG EFEKTIF
Disedia oleh Hajah Ramlah bt Idris,
Guru Cemerlang Pendidikan Islam,
SMK Pulau Nyior, Jitra, Kedah


Pengajaran Efektif

Pengajaran yang efektif ialah satu sistem aktiviti yang dapat meningkatkan lagi hasil pembelajaran terakhir yang dikehendaki dalam suasana yang sihat, demokratik dan bersemangat. Hasil pembelajaran terakhir yang dimaksudkan ialah perubahan tingkah laku murid akibat penerimaan pengetahuan atau kepercayaan baru. Ia merangkumi perkembangan seseorang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Ciri-ciri Guru Yang Efektif

Pengajaran yang efektif dihasilkan oleh guru yang efektif. Menurut satu kajian oleh Daveid G. Ryans (1959), guru yang efektif ialah guru yang mempunyai ciri-ciri berikut:
- Bersikap adil dan tidak pilih kasih.
- Bertimbang rasa dan baik hati.
- Bertanggungjawab dan suka menolong individu yang lain.
- Tenang dan stabil emosinya.
- Mudah dihampiri, berpatutan dan berupaya berjenaka.
- Berpersonaliti dinamik, iaitu menarik, tangkas dan kerap kali menghidupkan suasana bilik darjah.
- Mempunyai kecerdasan tinggi yang membolehkannya memahami serta mengajar sesuatu dari sudut pandangan yang luas.
- Mempunyai imaginasi tinggi yang membolehkannya memberikan pelbagai jenis contoh yang dapat membantu murid-murid memahami sesuatu konsep dengan mudah serta cepat.
- Bersuara lantang dan bertingkah laku beradab.
- Bersabar. Kesabaran penting ketika guru membimbing murid-murid yang lemah dan nakal.
- Bersikap terbuka, jujur dan ikhlas. Murid-murid akan mempercayai guru seperti ini. Dengan itu murid lebih sedia berkongsi masalah dengan guru.
- Bersikap tegas. Guru yang tegas dapat mewujudkan disiplin yang baik. Ini membolehkan pengajaran-pengajaran berjalan dengan licin.
- Mementingkan ketepatan masa. Guru yang menepati masa ketika masuk ke bilik darjah dapat memulangkan tugasan murid akan dihormati murid-muridnya. Amalan seperti ini juga merupakan teladan yang baik bagi murid-murid.
- Berdedikasi dan rajin. Guru yang berdedikasi kerap kali menyempurnakan tugasannya dengan baik. Dia sentiasa bertujuan untuk menghasilkan pembelajaran murid yang maksima.
- Sedia memberi galakan dan pujian. Sikap seperti ini akan mendorongkan lagi murid-murid untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam pembelajaran mereka.