18 November 2008

Peranan dan Tugas Guru Yang Efektif

PERANAN DAN TUGAS GURU YANG EFEKTIF
Disedia oleh Hajah Ramlah bt Idris,
Guru Cemerlang Pendidikan Islam,
SMK Pulau Nyior, Jitra, Kedah


Pengajaran Efektif

Pengajaran yang efektif ialah satu sistem aktiviti yang dapat meningkatkan lagi hasil pembelajaran terakhir yang dikehendaki dalam suasana yang sihat, demokratik dan bersemangat. Hasil pembelajaran terakhir yang dimaksudkan ialah perubahan tingkah laku murid akibat penerimaan pengetahuan atau kepercayaan baru. Ia merangkumi perkembangan seseorang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Ciri-ciri Guru Yang Efektif

Pengajaran yang efektif dihasilkan oleh guru yang efektif. Menurut satu kajian oleh Daveid G. Ryans (1959), guru yang efektif ialah guru yang mempunyai ciri-ciri berikut:
- Bersikap adil dan tidak pilih kasih.
- Bertimbang rasa dan baik hati.
- Bertanggungjawab dan suka menolong individu yang lain.
- Tenang dan stabil emosinya.
- Mudah dihampiri, berpatutan dan berupaya berjenaka.
- Berpersonaliti dinamik, iaitu menarik, tangkas dan kerap kali menghidupkan suasana bilik darjah.
- Mempunyai kecerdasan tinggi yang membolehkannya memahami serta mengajar sesuatu dari sudut pandangan yang luas.
- Mempunyai imaginasi tinggi yang membolehkannya memberikan pelbagai jenis contoh yang dapat membantu murid-murid memahami sesuatu konsep dengan mudah serta cepat.
- Bersuara lantang dan bertingkah laku beradab.
- Bersabar. Kesabaran penting ketika guru membimbing murid-murid yang lemah dan nakal.
- Bersikap terbuka, jujur dan ikhlas. Murid-murid akan mempercayai guru seperti ini. Dengan itu murid lebih sedia berkongsi masalah dengan guru.
- Bersikap tegas. Guru yang tegas dapat mewujudkan disiplin yang baik. Ini membolehkan pengajaran-pengajaran berjalan dengan licin.
- Mementingkan ketepatan masa. Guru yang menepati masa ketika masuk ke bilik darjah dapat memulangkan tugasan murid akan dihormati murid-muridnya. Amalan seperti ini juga merupakan teladan yang baik bagi murid-murid.
- Berdedikasi dan rajin. Guru yang berdedikasi kerap kali menyempurnakan tugasannya dengan baik. Dia sentiasa bertujuan untuk menghasilkan pembelajaran murid yang maksima.
- Sedia memberi galakan dan pujian. Sikap seperti ini akan mendorongkan lagi murid-murid untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam pembelajaran mereka.