09 Ogos 2012

GANJARAN TAAT, SAYANGKAN IBU

UWAIS AL-QARNI tinggal bersama ibunya sudah tua, lumpuh dan buta di Yaman.

Pemuda bangsa Yaman itu bekerja sebagai pengembala binatang ternakan. Beliau bukan saja sangat kasih kepada ibunya tetapi juga taat pada perintah ibunya walaupun terpaksa bekerja keras mencari rezeki. Allah memberi rahmat kepadanya dengan menjadikan binatang ternakannya sihat dan membiak dengan subur.

Pada waktu malam, Uwais menghabiskan masa di rumah untuk merawat ibunya seperti mengambil air minum dan memasak makanan. Beliau sering menjadi sebutan masyarakat.
Apabila tiba seruan Islam ke Yaman, beliau tertarik dengan ajaran agama itu sehingga memeluk Islam. Uwais menemui ketenangan jiwa dan menjadi hamba yang kuat beribadat.
Uwais teringin bertemu Rasulullah saw tetapi keadaan tidak mengizinkan kerana ibunya sudah tua dan tidak mampu tinggal sendirian. Waktu berlalu, kerinduan Uwais bertambah sehingga beliau menyatakan hasratnya kepada ibunya. Ibu membalas sambil menangis.
“Ibu...! Kenapa ibu menangis? tanya Uwais.
“Ibu terharu! Ibu rasa gembira akan hasratmu. Wahai Uwais! pergilah!” kata ibunya.

Tanpa berlengah, Uwais menyediakan keperluan untuk diri dan ibunya yang akan ditinggalkan selama beberapa hari. Akhirnya beliau tiba di Madinah dan mencari rumah Rasulullah.
Uwais mengetuk pintu tetapi yang menyahut ialah Aisyah kerana Rasulullah sedang berjuang dalam Perang Uhud. Uwais menyampaikan salam kepada Rasulullah dan pulang ke Yaman. Sekembalinya Rasulullah, Aisyah memberitahu mengenai Uwais yang mencarinya.
Rasulullah menyatakan bahawa orang itu adalah pemuda yang taat dan patuh serta sayang kepada ibunya. Dia adalah penghuni langit. Mendengar itu, Aisyah dan sahabat terpegun.
Rasulullah kemudian berkata: “Jika kamu ingin bertemunya, lelaki itu memiliki satu tanda putih di tengah tapak tangannya.” Rasulullah menoleh ke arah Ali dan Umar sambil berkata: “Jika kamu menemuinya suatu hari nanti, mintalah doa dan istighfarnya. Dia adalah penghuni langit.”
Ketika Umar menjadi khalifah, beliau teringat sabda Rasulullah dan mengajak Ali mencari Uwais. Mereka bertanya kepada semua kafilah yang datang berniaga di Madinah.
Tindakan mereka menimbulkan tanda tanya kafilah. Akhirnya mereka menemui Uwais.

Dalam kesempatan itu, Umar membalikkan tangan Uwais untuk melihat tanda yang disebut Rasulullah. “Memang benar! Inilah orangnya,” kata Umar kepada Ali.Sebelum pulang, mereka meminta Uwais mendoakan dan beristighfar untuk mereka.

Apabila Uwais meninggal dunia, ramai orang berebut-rebut untuk menguruskannya.
Uwais memperoleh martabat yang mulia kerana beliau menghormati, memulia dan mencurahkan kasih sayang terhadap ibunya, sikap yang mengangkat darjat manusia di sisi Allah.

Tiada ulasan: