14 Ogos 2012

KETIBAAN BULAN RAMADHAN


Umat Islam sedang menunggu kunjungan bulan Ramadhan, bulan yang sangat berkat dan diberkati, yang sentiasa dinanti-nantikan  kedatangannya oleh orang-orang yang taat dan patuh kepada perintah Allah SWT , maka kita yang masih berpeluang untuk berbakti  dan mengabdikan diri ke hadrat Allah SWT telahpun diajar oleh baginda Rasulullah saw cara sambutan bulan Ramadhan iaitu sebagaimana sabda Baginda kepada para sahabat sebagai berikut : “Dikunjungi bulan Ramadhan, penghulu segala bulan, ucapan selamat datang atas ketibaan bulan ibadat berpuasa yang penuh berkat. Maka layanlah tetamu istimewa yang sedang datang itu”.
Bersesuaian dengan ketibaan bulan puasa yang mulia, bulan yang dinamakan bulan umat Islam sedikit sebanyak sepatutnyalah kita tingkatkan pengetahuan kita mengenai hakikat kedudukan ibadat puasa  ini berbanding ibadat-ibadat lain. Pada hikmatnya yang sedia tersembunyi masih banyak lagi yang belum dapat dikaji dibongkar untuk diambil dan dimanfaatkan dalam kehidupan kita seharian, adapun yang telah kita dengar dan pernah sudah diperkatakan oleh para cerdik pandai Islam kita ialah :
1. Jentera atau alat yang terdapat di dalam badan manusia perlu mendapat kerehatan seketika. Maka ibadat puasa diibaratkan cara merehatkan sesuatu jentera pada badan dari berjalan berterusan yang berkemungkinan telah mengalami kerosakan dan tidak mudah pula diperbaiki.
2. Para cendekiawan turut menerangkan faedah berpuasa dari sudut kesihatan tubuh badan, banyak penyakit yang tidak dapat disembuhkan dengan ubat-ubat melainkan amalan puasa dapat menyembuhkan dari pedih kesakitan yang dirasai oleh si pesakit.
3. Membawa perubahan dari sudut perasaan insaniah di mana puasa dapat melahirkan sifat yang bertimbang rasa  antara dua insan, yang tidak serupa keadaan nasib dan tuah hidupnya. Perasaan ingin menolong daripada pihak yang berada kepada pihak yang kurang berada di dalam menikmati kebahagiaan hidup bersama boleh diperolehi melalui amalan puasa.
4. Allah SWT mewajibkan puasa Ramadhan adalah sebagai bulan latihan bagi maksud memulihkan kekuatan dari segi tenaga tubuh badan dan latihan rohani seperti sanggup bersabar dan menanggung penderitaan.
5. Menurut tinjauan al-Imam as-Syafei rahimahullah dalam ungkapan katanya : “Aku sangat suka bagi orang  yang berpuasa bertambah sifat kemurahan pemberian dalam bulan Ramadhan kerana mengikuti jejak langkah Baginda saw”.
Mari kita kembali merenung firman Allah yang bermaksud :
” Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana
diwajibkan ke atas orang–orang yang terdahulu daripada kamu,
 supaya kamu bertaqwa” (Surah al-Baqarah : 183).

    Dalam ayat tersebut Allah SWT menggunakan perkataan ‘        ‘ yang yang bermakna ‘mudah-mudahan atau supaya” . Perkataan  tersebut tidak diputuskan dan tidak  ditetapkan  malah bergantung kepada sikap dan amalan berpuasa. Dengan itu jelaslah bahawa natijah ibadat berpuasa ialah taqwa di mana pada hakikatnya taqwa itulah yang disediakan bagi orang yang berpuasa. Satu persoalan muncul daripada mulut Abu Umamah al-Bahili (r.a) meminta  Rasulullah saw menyuruhnya melakukan sesuatu yang  diterima oleh Allah SWT.
    Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda yang bermaksud :
“Wajib atas kamu berpuasa kerana puasa itu tiada bandingan baginya”.
Abu Umamah mengulangi permintaan itu kali ke-dua maka Rasulullah saw bersabda lagi seperti yang pertama juga dan Abu Umamah meminta kali ketiganya, maka dijawab oleh Rasulullah SAW sepertimana jawapan kali pertama dan keduanya juga. Dengan  jawapan yang berturut-turut dan serupa
daripada Rasululah saw, maka tidak syak lagi bahawa puasa itu tidak ada bandingan pada menyiapkan diri
untuk menuju ke pada tingkat ketaqwaan yang sebenarnya. Dari tinjauan tadi maka dapatlah disimpulkan bahawa puasa itu tidak akan sampai kepada tujuan atau hasilnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT melainkan kita mengetahui hakikat kedudukan puasa serta menetapkan kebenaran niat keikhlasan berpuasa atas tujuan memohon dan meminta keredhaan Allah
SWT semata-mata. Maka  tercapailah cita-cita dan azam yang kuat serta terpancarlah sinaran keimanan dan tercapailah keredhaan Allah bagi seseorang yang beramal sedemikian cara dan niat

Tiada ulasan: