28 Ogos 2009

Puasa dan kesihatan
Oleh Asmadi Abdul Rahman

Puasa menurut Islam bermaksud menahan diri daripada mengambil makanan dan juga minuman daripada terbit fajar sehingga kepada tenggelam matahari beserta
dengan niat berpuasa. Ibadah puasa tidak diamalkan oleh penganut Islam sahaja, sebaliknya umat-umat terdahulu dan agama-agama lain juga mengamalkan amalan berpuasa mengikut kaedah dan cara masing-masing seperti agama Yahudi dan Kristian. Namun begitu terdapat juga agama yangmengharamkan ibadah puasa kerana proses menahan diri
daripada lapar adalah suatu yang menyeksakan.

Secara dasarnya kita dapati bahawa ibadah puasa ini merupakan amalan yang menyakitkan kepada sesiapa yangberamal dengannya. Dalam agama Islam sesuatu yang
memudaratkan kepada penganutnya dikenali sebagaimasyaqqah iaitu kesukaran atau kesusahan hendaklahdihindari.

Ini kerana Islam merupakan agama yang membawa konsepkemudahan dan keringanan dalam kehidupan umatnya danbukannya membawa kesusahan dan kesukaran terhadap
umatnya.

Dalam keadaan tertentu, walaupun pada dasarnya sesuatuperkara itu kelihatan susah namun ia adalah suatutaklif yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu
seperti kewajipan dalam mencari rezeki.

Hakikatnya bahawa kesusahan dan kesukaran adalah suatuyang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia.Begitu juga dengan ibadah perlu kepada pengorbanan
dalam melaksanakan tuntutan tersebut. Antara ibadahyang memerlukan pengorbanan fizikal adalah ibadahpuasa.

Ini kerana kita dilarang makan dan minum sama sekalisetelah terbit fajar sehingga tenggelam matahari. Jika di Malaysia kita perlu menahan lapar dan dahaga lebih
kurang 14 jam sehari. Satu jangka masa yang sebenarnya sangat panjang dan membebankan kepada pengamalnya jika dilihat dari sudut fizikalnya.

Namun begitu ibadah ini tetap dinanti-nantikan oleh umat Islam untuk melaksanakannya khususnya di bulan Ramadan bagi memperolehi ketakwaan dan keampunan Allah
s.w.t.

Selain tujuan berpuasa untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t dan memperoleh keampunannya secara tidak langsung ibadah puasa juga mempunyai kesan yang
sangat baik terhadap kesihatan umat Islam jika melaksanakannya dengan sempurna.

Hal ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis : Berpuasalah kamu, nescaya kamu mendapat kesihatan. (riwayatAl-Thabrani).

Sebenarnya jika kita kaji tentang ibadah puasa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat terdahulu hampir atau mungkin lebih 150 hari dalam
setahun mereka telah berpuasa.

Antara puasa yang digalakkan oleh baginda s.a.w ialah puasa enam di bulan Syawal seperti mana sabdanya yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan
kemudian diikuti puasa enam hari di bulan syawal, seolah-olah berpuasa selama setahun. (riwayat Muslim).

Seterusnya ialah puasa hari Arafah kepada yang tidak menunaikan rukun haji. Abi Qatadah berkata, ditanya kepada Nabi s.a.w tentang puasa Arafah, maka baginda
berkata: Diampunkan tahun lepas dan selebihnya.(riwayat Muslim).

Seterusnya puasa pada 9 dan 10 Muharam. Ibn Abbas meriwayatkan, Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berpuasa pada hari 10 Muharam dan memerintahkan berpuasa
padanya. (riwayat Bukhari).

Terdapat juga puasa yang dituntut melakukan setiap minggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis. Daripada Aisyah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menuntut supaya berpuasa pada hari Isnin dan Khamis”.
(riwayat Tirmizi)

Puasa yang dituntut dilakukan pada setiap bulan pula digalakkan melakukan pada setiap 13, 14 dan 15 haribulan Islam setiap bulan, selagi ia tidak jatuh
pada hari yang diharamkan berpuasa.

Hal ini merujuk kepada sebuah hadis daripada Abu Hurairah: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah berpesan kepadaku dengan tiga perkara iaitu berpuasa tiga hari
berturut-turut setiap bulan, mendirikan dua rakaat solat Duha dan mendirikan witir sebelum tidur. (riwayat Bukhari).

Walau pun puasa-puasa tersebut tidak diwajibkan kepada umat Islam tetapi dengan melakukan ibadah tersebut kita dapat menghampirkan diri dengan Allah s.w.t. dari
sudut rohaninya, dari sudut jasmaninya kita akan mendapat kesihatan yang baik, seperti yang disebut dalam hadis di atas.

Terdapat kajian yang menyokong kebenaran hadis yang mengatakan bahawa berpuasa mendatang kesihatan kepada pengamalnya. Ini dibuktikan melalui kajian saintifik
yang dijalankan oleh Universiti Sains Perubatan di Tehran.

Mereka dapati bahawa mengamalkan ibadah puasa tidak mendatangkan kemudaratan, sebaliknya puasa yang sempurna mampu menyebabkan masalah berat badan dan
metabolisme lemak dapat diselesaikan.

Melalui ibadah puasa juga mampu membaik pulih sistem ginjal manusia. Satu kajian oleh Fakulti Perubatan Universiti Indonesia terhadap 43 orang golongan geriatric. Kesimpulan kajian menunjukkan pada puasa Ramadan akan berlakunya pembaikan fungsi ginjal pesakit geriatic dengan mekanisme yang belum jelas.

Kemungkinan growth hormone berperanan dalam proses pembaikan itu manakala pada minggu pertama danpertengahan puasa Ramadan, penurunan fungsi berlaku. Secara klinikal keadaan ini tidak merbahaya. Kemudian pada akhir puasa dan dua minggu selepas puasa terjadi pertambahan fungsi ginjal, bahkan lebih baik dari
sebelum berpuasa. Menurut Prof. Madya, Mohd. Isa Abdul Majid dari Pusat Racun Negara USM, berpuasa mencega diri daripada mengambil makanan selama hampir 14 jam
membolehkan organ penghadaman seperti perut, usus, pankreas, kelenjar hempedu dan hati berehat daripada aktiviti pencernaan makanan.

Tambahan pula, organ hati dalam keadaan tiada bahan yang perlu dihadamkan akan berubah kepada lebih aktiviti pembersihan seperti menukarkan simpanan lelemak di dalam badan kepada bentuk penjanaan tenaga yang diperlukan oleh badan.

Selain itu, beliau berpendapat, ibadah puasa mampu menyelamatkan kesihatan perokok tegar. Ini kerana bagi mengurangkan beban bahan racun yang terkumpul dalam
badan maka alternatif yang ada ialah mengurangkan kemasukan bahan racun yang terhasil daripada asap rokok ke dalam badan manusia melalui saluran pernafasan atau pemakanan.

Hakikatnya ibadah puasa merupakan suatu kaedah untuk melatih kita menahan nafsu daripada segala kenikmatan dunia ini. Dalam mafhum sebuah hadis Rasulullah s.a.w.
menyebut sesungguhnya syaitan bergerak di dalam jiwa manusia melalui saluran darah yang mengalir dalam tubuh manusia.

Untuk memperlahan pergerakan tersebut hendaklah kita melakukan ibadah berpuasa supaya dapat menyempitkan saluran darah tersebut, secara tidak langsung mempunyai maksud tersirat dalam mengawal pergerakan syaitan yang sering mempengaruhi nafsu kita.

* Asmadi Abdul Rahman ialah Pensyarah Kolej Shahputra
Kuantan.

Tiada ulasan: